KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Pakistan
masih menunggu pengesahan laporan yang mengatakan seorang rakyat Malaysia
adalah antara sekumpulan pejuang Taliban yang ditahan tentera Pakatan Utara
sebagai banduan perang di Afghanistan.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke negara itu, Datuk Sofian Ahmad, ketika
dihubungi Harian Metro di Islamabad, kira-kira jam 7.50 pagi tadi berkata,
setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang pengesahan mengenai
laporan itu.
“Kita masih lagi belum menerima pengesahan mengenai laporan itu,” katanya.
Ditanya bila pengesahan itu boleh diperolehi, Sofian berkata, beliau
memerlukan sedikit masa, tetapi tidak dapat memberikan tempohnya.
Sementara itu, Kementerian Luar sedang menyiasat laporan seorang rakyat
Malaysia adalah antara sekumpulan pejuang Taliban yang ditahan tentera Pakatan
Utara.
Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Ahmad Fuzi Abdul Razak, berkata Wisma
Putra sudah meminta Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan memastikan
keterangan gambar agensi berita Perancis, AFP, bahawa seorang rakyat Malaysia
adalah antara 400 pejuang Taliban yang ditahan di penjara Barak di Lembah
Pashir, utara Afghanistan.
“Kami sedang menunggu pengesahan daripada Suruhanjaya Tinggi kami di
Islamabad,” katanya.
Gambar itu yang menunjukkan sekumpulan pejuang Taliban yang ditahan tentera
Pakatan Utara, satu pakatan pejuang Afghanistan yang menentang regim Taliban,
disiarkan akhbar tempatan, semalam.
Menurut agensi berita itu, daripada 400 banduan yang ditahan itu, 20 orang
adalah rakyat China, 15 warga Pakistan dan seorang warga Iraq.